Monday 17 December 2012

Sepintas Negeri 5 Menara


               
Hasil nukilan Ahmad Fuadi dari negeri seberang (Indonesia) ini, amat menarik untuk dibaca. Saya percaya, novel “Negeri 5 Menara” ini amat berguna untuk merangsang para penuntut ilmu supaya bangkit dan meneruskan usaha mencapai kejayaan dalam pengajian.
Novel ini memberi motivasi kepada pembaca agar bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Bersesuaian dengan Sabda Rasulullah s.a.w, 'Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.' (Riwayat Abu Daud).
Salah satu bab di dalam novel ini bertajuk “man jadda wajada”. Ungkapan Arab ini membawa maksud siapa yang bersungguh-sungguh pasti akan berhasil. Alif Fikri merupakan watak utama dalam novel ini telah menggarap falsafah dari ungkapan Arab ke dalam kehidupannya sebagai pelajar Pondok Madani. Sehinggakan ungkapan itu menjadi slogan buat dirinya juga teman-temannya sebagai pemangkin kejayaan mereka di Pondok Madani.
Novel ini juga menyuntik sikap terus asa. Pada awalnya, Alif Fikri berat untuk menyambung pengajian di Pondok Madani kerana bertentangan dengan cita-citanya untuk menjadi jurutera seperti Habibie (Bekas Presiden Indonesia). Akan tetapi, beliau mendapati terdapat pelbagai cara dan jalan yang memudahkan beliau untuk meneruskan pengajiannya di pondok tersebut. Perkara yang paling penting adalah beliau tidak pernah berhenti berusaha dan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah memohon petunjuk.
 Alif Fikri amat meminati bidang penulisan. Beliau telah dilantik menjadi salah seorang wartawan sekolah walaupun masih baru di Pondok tersebut. Walau pada usia yang masih muda, beliau berjaya menghasilkan sebuah rencana hasil wawancara bersama Ketua Menteri Pertahanan Indonesia ketika itu. Tambahan pula, rencana tersebut disiarkan serta-merta di dalam majalah pondoknya. Penulisan beliau amat berkesan dan mendapat pujian daripada Pengetua Pondok Madani dan Ketua Menteri Pertahanan tersebut. Justeru teman-teman pembaca, ayuh, teladani sikap watak utama ini! Walau sebesar apa pun sesuatu perkara yang mahu dilakukan, tidak akan mustahil jika kita bersungguh-sungguh melakukannya. “Man jadda wajada”!
Resepi kejayaan Alif dan kawan-kawannya sepanjang pengajian mereka di Pondok Madani adalah berdisiplin dan bijak memilih kawan-kawan yang soleh di samping berusaha bersungguh-sungguh. Peraturan Pondok Madani yang sangat ketat, menajdikan Alif dan kawan-kawannya begitu berdisiplin. Di samping itu, Alif sangat bertuah kerana mempunyai kawan-kawan yang sedia membantu antara satu sama lain. Alif mahir dalam matapelajaran Bahasa Inggeris. Justeru beliau membantu kawan-kawannya yang lain dalam matapelajaran tersebut. Begitu juga kawan-kawannya yang lain. Mendapat kawan-kawan yang baik dan saling membantu adalah satu anugerah yang terbaik.
Terdapat banyak lagi nilai-nilai murni yang boleh pembaca dapati sepanjang menghayati kisah pengalaman penulis melalui novel ini. Kesimpulannya, umat Islam mestilah sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam apa jua keadaan. Umat Islam mestilah bekerja sama antara satu sama lain bagi mencapai kejayaan.

Saturday 15 December 2012

Sakinah, Mahabbah, Rahmah


Dan ku terus menunggu…
Mungkin dia juga antara ujian Tuhan. Allah menghadirkan dirinya ‘tuk menguji sejauh mana aku dapat mengotakan kata. Kerana iman itu bukan sekadar mengukir kata-kata. Malah kata dikota. Percaya tiada tara. Ingin diuji tawakkalku padaNya.

Namun Tuhan…
Engkau Maha tahu. Engkau tahu sesak nafasku menghadapi semua ini.
Di kiriku kananku, aku melihat tanda kuasaMu
Mahabbah...mawaddah…
Seorang demi seorang temanku telah Kau pertemukan dengan pasangannya.
Aku tumpang bahagia melihat mereka bahagia.

Di sudut benakku…
Pengajianku yg terutama selepas Engkau yang Maha Utama. Engkau cinta akan hamba-hamba yang menuntut ilmuMu. Ku tak mahu tersisih dari cintaMu itu.
Namun terdetik di sudut hatiku, di mana cinta ku? Wahai Pemilik Cinta, di mana cintaku?
Saban malam hati berdesih tak keruan.
Kadang tanpa sedar lena beteman air mata.

Di suatu kerlingan mata,
Tika Ku terus mujahadah menyusun langkah ke Raudhatul Jannah. Menyemai semangat enggan mengalah. Menyangkal resah, menepis jemu yang tak sudah. Mengkhusyukkan nadzarah menajamkan fatanah.
Tiba-tiba, di suatu kerlingan mata, berjalan Sakinah dalam mahabbah sakinah. Seiring sejalan mengatur langkah dengan si dia dalam redha Allah. Di suatu kerlingan mata, senyum Sakinah dalam mahabbah.

Sakinah, kau qudwah…
Dalam setiap tingkah ada dakwah. Inilah cinta, wahai remaja. Cinta yang disulam atas nama nikah. Bukan cinta palsu tiada arah. Cinta yang terarah adalah cinta setelah nikah.